Super admin . 1st Jul, 2024 10:01 AM
Keusahawanan merujuk kepada pembentukan seseorang sebagai usahawan dalam mengendalikan sesuatu perniagaan.
Usahawan juga mempunyai kesanggupan untuk menanggung risiko bagi mendapatkan keuntungan. Keusahawanan memerlukan seseorang untuk bijak dalam mengatur strategi dan mengambil peluang bagi memastikan kelangsungan perniagaan.
Ekosistem dunia semasa menuntut graduan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membina dan membentuk jati diri graduan minda kelas pertama.
Melalui penerapan nilai-nilai keusahawanan, gagasan dan matlamat ini dapat dibantu untuk dicapai.
Ia juga bertepatan dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025 yang telah dilancarkan pada tahun 2021, bertemakan Naratif Baharu Program Pembangunan Keusahawanan di IPT.
Pelan tindakan ini mengariskan beberapa elemen untuk melahirkan graduan yang holistik dalam pelbagai aspek, mencakupi keperluan dalam menghasilkan graduan minda kelas pertama.
Pembentukan graduan minda kelas pertama dapat memastikan kebolehupayaan graduan bersaing dan kekal relevan sama ada sebagai penyedia kerja atau pekerja dalam bidang yang berkaitan.
Graduan minda kelas pertama bukan hanya memiliki pencapaian akademik yang baik (kecerdasan), namun mempunyai ciri-ciri yang kreatif, berketerampilan unggul, bakat kepimpinan yang terpuji dan ketekunan yang tinggi.
Penerapan kursus keusahawanan dalam program akademik di IPT adalah bertepatan dan berimpak.
Hal ini sekali gus dapat memberikan suntikan kepada para pelajar dalam mengadaptasi nilai-nilai keusahawanan ke arah kemenjadian graduan minda kelas pertama.
Keupayaaan berfikir di luar kotak, kreatif dan inovatif dapat membantu para pelajar untuk mengenal pasti peluang yang ada dan sekali gus dapat menghasilkan keputusan yang baik.
Kreatif dan inovatif adalah antara elemen penting yang diterapkan dalam keusahawanan. Mengenal pasti masalah memerlukan pelajar kreatif dalam mempertimbangkan rangka kerja yang perlu dilaksanakan.
Inovatif dalam kepelbagaian penggunaan teknik untuk menganalisa peluang atau permasalahan.
Kepelbagaian ini memberikan nilai dan impak yang baik, sekaligus dapat meningkatkan daya pemikiran pelajar untuk lebih kritis dan kreatif.
Elemen keusahawanan juga memberi penekanan kepada ketekunan. Ketekunan dalam memastikan hasil kerja adalah mengikut piawaian yang diperlukan.
Ia memberikan gambaran kepada keupayaan pelajar dalam menghadapi dan menyelesaikan sesuatu masalah, fokus kepada tujuan dengan jelas dan jitu.
Keusahawanan juga memberikan pengalaman dan memacu daya kepimpinan pelajar untuk menjadi seorang pemimpin dalam sesebuah organisasi dan membimbing organisasi untuk berjaya.
Di samping itu melalui kepimpinan, nilai-nilai etika dan integriti yang teguh dapat dipupuk. Keusahawanan menuntut seseorang untuk bekerja secara berkumpulan dan berpasukan.
Elemen ini mendidik seseorang individu untuk berhubung dan berkolaborasi di antara satu sama lain. Kemahiran berkolaborasi amat penting dalam dunia masa kini, terutamanya alam pekerjaan.
Dunia masa kini menuntut seseorang individu mempunyai kemahiran berunding secara bijaksana, menyerlahkan kerjasama antara pihak-pihak terlibat. Kemahiran ini perlu ada dan dipelajari oleh para pelajar pada masa kini.
Pengukuhan nilai keusahawanan mendidik para pelajar berkomunikasi melalui persekitaran. Berkomunikasi dalam konteks penyesuaian diri dalam persekitaran yang berbeza-beza.
Graduan yang berfikiran positif, mampu berubah mengikut persekitaran. Mempertimbangkan pembelajaran dahulu sebagai pengalaman dengan erti kata lain tidak penat berusaha dan berputus asa.
Melalui keusahawanan, ia mampu mencorak kemampuan, kebolehan dan keupayaan graduan untuk bersedia dalam kepelbagaian keadaan dan persekitaran yang dinamik (berubah-ubah).
Pada era dunia yang serba rencam, keberanian perlu ada dalam diri pelajar.
Keberanian dalam membuat pilihan, keberanian dalam menanggung risiko, keberanian dalam mengambil peluang. Elemen-elemen ini dilatih dalam kursus keusahawanan melalui peluang perniagaan yang disediakan, di samping program-program yang dianjurkan oleh institusi masing-masing.
Tambahan itu, kini terdapat pusat-pusat usahawan/teknousahawan di sesetengah institusi pengajian tinggi yang dapat membantu memberikan nasihat, berkongsi teknik perniagaan dan ilmu-ilmu lain berkaitan keusahawanan.
Hal ini menunjukkan peranan pelbagai pihak dalam penerapan nilai keusahawanan kepada pelajar.
Tanggungjawab yang dilaksanakan ini dapat memberikan impak yang besar kepada peningkatan potensi pelajar dalam pelbagai aspek.
Dunia kini menuntut graduan mempunyai minda kelas pertama. Graduan yang berbakat, berdaya saing tinggi dan kalis masa depan.
Nilai keusahawanan yang diterapkan mampu menghasilkan graduan yang mempunyai masa depan yang cerah, bernilai dan berbakat tinggi, seterusnya dapat menyumbang bakti kepada Malaysia tercinta.
Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin
Ketua Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
habis//
(Artikel di atas dipetik dari news.uthm.edu.my)
Mahu belajar menjual di eBay ? klik sini
Tips Jualan Untuk Seller Baru di eBay
Aplikasi TEMU didakwa berisi perisian hasad berbahaya